Nabi Zakaria adalah ayah dari Nabi Yahya putera tunggalnya yang lahir setelah ia mencapai usia sembilan puluh tahun. Sejak beristeri Hanna, ibu saudaranya Maryam, Zakaria mendambakan mendapat anak yang akan menjadi pewarisnya. Siang dan malam tiada henti-hentinya ia memanjatkan doanya dan permohonan kepada Allah s.w.t. agar dikurniai seorang putera yang akan dapat meneruskan tugasnya memimpin Bani Israil. Ia khuatir bahawa bila ia mati tanpa meninggalkan seorang pengganti, kaumnya akan kehilangan pemimpin dan akan kembali kepada cara-cara hidup mereka yang penuh dengan mungkar dan kemaksiatan dan bahkan mungkin mereka akan mengubah syariat Musa dengan menambah atau mengurangi isi kitab Taurat sekehendak hati mereka. Selain itu, ia sebagai manusia, ingin pula agar keturunannya tidak terputus dan terus bersambung dari generasi sepanjang Allah s.w.t. mengizinkannya dan memperkenankan.
Nabi Zakaria tiap hari sebagai tugas rutin pergi
ke mihrab besar melakukan sembahyang serta menjenguk Maryam anak iparnya yang
diserahkan kepada mihrab oleh ibunya sesuai dengan nadzarnya sewaktu ia masih
dalam kandungan. Dan memang Zakarialah yang ditugaskan oleh para pengurus
mihrab untuk mengawasi Maryam sejak ia diserahkan oleh ibunya. Tugas pengawasan
atas diri Maryam diterima oleh Zakaria melalui undian yang dilakukan oleh para
pengurus mihrab di kala menerima bayi Maryam yang diserahkan pengawasannya
kepadanya itu adalah anak saudara isterinya sendiri yang hingga saat itu belum
dikurniai seorang anak pun oleh Tuhan.
Suatu peristiwa yang sangat menakjubkan dan
menghairankan Zakaria telah terjadi pada suatu hari ketika ia datang ke mihrab
sebagaimana biasa. Ia melihat Maryam disalah satu sudut mihrab sedang tenggelam
dalam sembahyangnya sehingga tidak menghiraukan bapa saudaranya yang datang
menjenguknya. Di depan Maryam yang sedang asyik bersembahyang itu terlihat oleh
Zakaria berbagai jenis buah-buahan musim panas. Bertanya-tanya Nabi Zakaria
dalam hatinya, dari mana datangnya buah-buahan musim panas ini, padahal mereka
masih berada dalam musim dingin. Ia tidak sabar menanti anak saudaranya selesai
sembahyang, ia lalu mendekatinya dan menegur bertanya kepadanya: "Wahai
Maryam, dari manakah engkau dapat ini semua?"
Maryam menjawab: "Ini adalah pemberian Allah s.w.t. yang aku dapat tanpa kucari dan aku
minta. Diwaktu pagi dikala matahari terbit aku mendapatkan rezekiku ini sudah
berada didepan mataku, demikian pula bila matahari terbenam di waktu senja.
Mengapa bapa saudaranya merasa hairan dan takjub? Bukankah Allah s.w.t. berkuasa memberikan rezekinya kepada
siapa yang Dia kehendaki tanpa
perhitungan?"
Maryam binti Imran
Maryam yang disebut-sebut dalam kisah Zakaria
adalah anak tunggal dari Imran seorang daripada pemuka-pemuka dan ulama Bani
Isra'il. Ibunya saudara ipar dari Nabi Zakaria adalah seorang perempuan yang
mandul yang sejak bersuamikan Imran belum merasa berbahagia jika belum
memperoleh anak. Ia merasa hidup tanpa anak adalah sunyi dan membosankan. Ia
sangat mendambakan keturunan untuk menjadi pengikat yang kuat dalam kehidupan
bersuami-isteri, penglipur duka dan pembawa suka di dalam kehidupan keluarga.
Ia sangat ingin akan keturunan sehingga bila ia melihat seorang ibu menggandung
bayinya atau burung memberi makan kepada anaknya, ia merasa iri hati dan terus
menjadikan kenangan yang tak kunjung lepas dari ingatannya.
Tahun demi tahun berlalu, usia makin hari makin
lanjut, namun keinginan tetap tinggal keinginan dan idam-idaman tetap tidak
menjelma menjadi kenyataan. Berbagai cara dicubanya dan berbagai nasihat dan
petunjuk orang diterapkannya, namun belum juga membawa hasil. Dan setelah
segala daya upaya yang bersumber dari kepandaian dan kekuasaan manusia tidak
membawa buah yang diharapkan, sedarlah isteri Imran bahawa hanya Allah s.w.t. tempat satu-satunya yang berkuasa
memenuhi keinginannya dan sanggup mengurniainya dengan seorang anak yang
didambakan walaupun rambutnya sudah beruban dan usianya sudah lanjut. Maka ia
bertekad membulatkan harapannya hanya kepada Allah
s.w.t. bersujud siang dan malam dengan penuh khusyuk dan kerendahan
hati bernadzar dan berjanji kepada Allah s.w.t.
bila permohonannya dikalbulkan, akan menyerahkan dan menghibahkan anaknya ke
Baitul Maqdis untuk menjadi pelayan, penjaga dan memelihara rumah suci itu dan
sesekali tidak akan mengambil manfaat dari anaknya untuk kepentingan dirinya
atau kepentingan keluarganya.
Harapan isteri Imran yang dibulatkan kepada Allah s.w.t. tidak tersia-sia. Allah s.w.t. telah menerima permohonannya dan
mempersembahkan doanya sesuai dengan apa yang telah disuratkan dalam takdir-Nya bahawa dari suami isteri Imran akan
diturunkan seorang nabi besar. Maka tanda-tanda permulaan kehamilan yang
dirasakan oleh setiap perempuan yang mengandung tampak pada isteri Imran yang
lama kelamaan merasa gerakan janin di dalam perutnya yang makin membesar.
Alangkah bahagia si isteri yang sedang hamil itu, bahawa idam-idamannya itu
akan menjadi kenyataan dan kesunyian rumah tangganya akan terpecahlah bila bayi
yang dikandungkan itu lahir. Ia bersama suami mulai merancang apa yang akan
diberikan kepada bayi yang akan datang itu. Jika mereka sedang duduk berduaan
tidak ada yang diperbincangkan selain soal bayi yang akan dilahirkan. Suasana
suram sedih yang selalu meliputi rumah tangga Imran berbalik menjadi riang
gembira, wajah sepasang suami isteri Imaran menjadi berseri-seri tanda suka
cita dan bahagia dan rasa putus asa yang mencekam hati mereka berdua berbalik
menjadi rasa penuh harapan akan hari kemudian yang baik dan cemerlang.
Akan tetapi sangat benarlah kata mutiara yang
berbunyi: "Manusia merancang, Tuhan menentukan." Imran
yang sangat dicintai dan sayangi oleh isterinya dan diharapkan akan menerima
putera pertamanya serta mendampinginya dikala ia melahirkan, tiba-tiba
direnggut nyawanya oleh Izra'il dan meninggallah isterinya seorang diri dalam
keadaan hamil tua, pada saat mana biasanya rasa cinta kasih sayang antara suami
isteri menjadi makin mesra. Rasa sedih yang ditinggalkan oleh suami yang
disayangi bercampur dengan rasa sakit dan letih yang didahului kelahiran bayi,
menimpa isteri Imran di saat-saat dekatnya masa melahirkan. Maka setelah segala
persiapan untuk menyambut kedatangan bayi telah dilakukan dengan sempurna
lahirlah ia dari kandungan ibunya yang malang menghirup udara bebas. Agak
kecewalah si ibu janda Imran setelah mengetahui bahawa bayi yang lahir itu
adalah seorang puteri sedangkan ia menanti seorang putera yang telah dijanjikan
dan bernadzar untuk dihibahkan kepada Baitulmaqdis. Dengan nada kecewa dan suara
sedih berucaplah ia seraya menghadapkan wajahnya ke atas: "Wahai Tuhanku, aku telah melahirkan seorang puteri,
sedangkan aku bernadzar akan menyerahkan seorang putera yang lebih layak
menjadi pelayan dan pengurus Baitulmaqdis. Allah
s.w.t. akan mendidik puterinya itu dengan pendidikan yang baik dan
akan menjadikan Zakaria, iparnya dan bapa saudara Maryam sebagai pengawas dan
pemeliharanya.
Demikianlah maka tatkala Maryam diserahkan oleh
ibunya kepada pengurus Baitulmaqdis, para rahib berebutan masing-masing ingin
ditunjuk sebagai wali yang bertanggungjawab atas pengawasan dan pemeliharaan
Maryam. Dan kerana tidak ada yang mahu mengalah, maka terpaksalah diundi
diantara mereka yang akhirnya undian jatuh kepada Zakaria sebagaimana
dijanjikan oleh Allah s.w.t. kepada
ibunya. Tindakan pertama yang diambil oleh Zakaria sebagai petugas yang
diwajibkan menjaga keselamatan Maryam ialah menjauhkannya dari keramaian
sekeliling dan dari jangkauan para pengunjung yang tiada henti-hentinya
berdatangan ingin melihat dan menjenguknya. Ia ditempatkan oleh Zakaria di
sebuah kamar diatas loteng Baitulmaqdis yang tinggi yang tidak dapat dicapai
melainkan dengan menggunakan sebuah tangga. Zakaria merasa bangga dan bahagia
beruntung dengan undian yang diperolehi dan tugas mengawasi dan memelihara
Maryam secara sah adalah anak saudaranya sendiri. Ia mencurahkan cinta dan
kasih sayangnya sepenuhnya kepada Maryam untuk menggantikan anak kandungnya
yang tidak kunjung datang. Tiap ada kesempatan ia datang menjenguknya, melihat
keadaannya, mengurus keperluannya dan menyediakan segala sesuatu yang membawa
ketenangan dan kegembiraan baginya. Tidak satu hari pun Zakaria pernah
meninggalkan tugasnya menjenguk Maryam.
Rasa cinta dan kasih sayang Zakaria terhadap
Maryam sebagai anak saudara isterinya yang ditinggalkan ayahnya meningkat
menjadi rasa hormat dan takzim tatkala terjadi suatu peristiwa yang menandakan
bahawa Maryam bukanlah gadis biasa sebagaimana gadis-gadis yang lain, tetapi ia
adalah wanita pilihan Allah s.w.t. untuk
suatu kedudukan dan peranan besar di kemudian hari.
Pada suatu hari tatkala Zakaria datang
sebagaimana biasa, mengunjungi Maryam, ia mendapatinya lagi berada di mihrabnya
tenggelam dalam ibadah berzikir dan bersujud kepada Allah
s.w.t.. Ia terperanjat ketika pandangan matanya menangkap hidangan
makanan berupa buah-buahan musim panas terletak di depan Maryam yang lagi
bersujud. Ia lalu bertanya dalam hatinya, dari manakah gerangan buah-buahan itu
datang, padahal mereka masih lagi berada pada musim dingin dan setahu Zakaria
tidak seorang pun selain dari dirinya yang datang mengunjungi Maryam. Maka
ditegurlah Maryam tatkala setelah selesai ia bersujud dan mengangkat kepala:
"Wahai Maryam, dari manakah engkau memperolehi rezeki ini, padahal tidak
seorang pun mengunjungimu dan tidak pula engkau pernah meninggalkan mihrabmu?
Selain itu buah-buahan ini adalah buah-buahan musim panas yang tidak dapat
dibeli di pasar dalam musim dingin ini."
Maryam menjawab: "Inilah peberian Allah s.w.t. kepadaku tanpa aku berusaha atau
minta. Dan mengapa engkau merasa hairan dan takjub? Bukankah Allah Yang Maha Berkuasa memberikan rezekinya
kepada sesiapa yang Dia kehendaki dalam
bilangan yang tidak ternilai besarnya?"
Demikianlah Allah
s.w.t. telah memberikan tanda pertamanya sebagai mukjizat bagi
Maryam, gadis suci, yang dipersiapkan oleh-Nya
untuk melahirkan seorang nabi besar yang bernama Isa Almasih a.s.
Kisah lahirnya Maryam
dan pemeliharaan Zakaria kepadanya dapat dibaca dalam Al-Quran surah Ali Imran
ayat 35 hingga 37 dan 42 hingga 44.
No comments:
Post a Comment